PRINCESSDIARY
Outdoor Shooting oleh Nizam (www.nizamgallery.com)
PASANGAN ini memilih tema Sweet Pink pada hari pernikahan mereka.


Cinta monyet Khirulnizan Abdul Rashid dan Norhazuren Halid berakhir di jinjang pelamin



MERAH inai di jari, merah dan hangat membara lagi cinta pengarah urusan Chronicles Creative Animation Sdn. Bhd, Khirulnizan Abdul Rashid terhadap isterinya, Norhazuren Halid.

Cinta monyet yang pernah terjalin sewaktu menuntut di Universiti, akhirnya mekar hingga ke jinjang pelamin. Siapa sangka, pada mulanya sekadar usikan rakan-rakan bengkel motivasi rupanya menjadi titik tolak ikatan suci ini sebaik bertemu semula di sebuah pasaraya mega di ibu kota.

Pertemuan singkat selepas hampir 5 tahun terputus hubungan, membuahkan bibit cinta di hati Khirul umpama mimpi menjadi nyata. Tidak menyangka pertemuan itu jugalah yang menjadi bukti, cinta sejati telah ditemui.

Tempoh 3 bulan mengenali ‘semula’ Zureen, Khirul, tekad menyuarakan hasrat hatinya untuk bertemu dengan kedua ibu-bapa wanita yang dicintainya, dan berharap agar pertemuan ini tidak disiakan begitu sahaja bahkan mahu ia berakhir dalam sebuah ikatan perkahwinan.

Pasangan sama padan ini sepakat menjadi suami isteri pada 29 Mei lalu. Memilih bulan Mei dalam kalendar, jodoh ternyata begitu kuat menyatukan mereka.

Mengimbas kembali detik indah mereka dulu, Mid Valley Mega Mall, dan Kolej Sembilan Universiti Malaya antara lokasi ‘keramat’ pertemuan pertama & terakhir mereka sebelum bergelar suami isteri. Namun, ditanya kembali mereka secara jelas bila cinta itu mula terpahat, masing-masing merenung mata kerana tidak sedar cinta hadir dalam diam.

Khirul berkata, dia sendiri tidak menyangka hubungan ‘usikan teman’ yang terjalin antaranya dengan isteri sewaktu di Universiti mampu dipertemukan semula dan bertahan hingga sekarang. Itulah yang dikatakan ‘sudah jodoh tidak ke mana’. Malah sebagai menghargai pertemuan kembali itu, pasangan sama padan ini banyak mengabadikan nilai itu dengan pemilihan cincin merisik yang sedondon.

“Tak bererti cinta ‘monyet’ tidak boleh bertahan ke peringkat yang serius dan lebih baik (berkahwin). Semuanya berbalik kepada soal jodoh. banyak kenangan dan perkara tertentu dikongsi bersama.”

“Kami bertunang dalam tempoh 8 bulan. Tarikh 30 Julai 2008 menjadi tanda cinta kami. Selama tempoh ini jugalah, kami belajar mengenal apa itu pengorbanan dan kesetiaan. Jujur, saya akui, Zureen berjaya membuka pintu hati saya,” kata Khirul ketika ditemui sejurus selepas selesai majlis akad nikah.


Jika Sudah Jodoh Tidak Akan Ke Mana


Itulah pepatah paling tepat untuk menggambarkan ikatan murni suami isteri yang termeterai antara Zureen dan Khirul, tepat jam 9.30 malam pada tarikh keramat 29 Mei 2009. Dalam majlis yang dihadiri oleh rakan taulan serta saudara mara terdekat semalam, Zureen yang dinikahkan sendiri oleh bapanya, Halid Samijo, 56, menerima mas kahwin RM 80 beserta wang hantaran berjumlah RM 11,000.

Dinikahkan di kediaman keluarga Zureen, di Sungai Buloh, pasangn ini bersanding pada keesokan hari di tempat yang sama. Acara bertandang pula akan diadakan pada 13 Jun di Arau, Perlis.

“Alhamdulillah, akhirnya jodoh kami kuat bersama. Terima kasih kepada pihak penaja dan orang perseorangan yang terbabit secara langsung mahupun tidak dalam merealisasikan majlis ini. Saya juga harus berterima kasih kepada isteri saya kerana tanpa sokongannya, saya rasa seperti kosong.

“Dia (isteri) sangat memahami dan sentiasa berada di sisi saya tidak kira sama ada dalam waktu susah atau senang. Malah, kalau buat kerja seorang diri pun, saya rasa hidup ini tak lengkap,” kata Khirul yang ternyata sudah bersedia untuk memikul tanggung jawab sebagai suami.

Khirul Lelaki Jujur, Berterus Terang

BERALIH bicara kepada isterinya, Zureen memberitahu terlalu banyak kenangan indah dan pahit yang dikecapi bersama. Seperti pasangan lain, tugu cinta mereka juga pernah diuji, apabila ada saja dugaan yang bukan datang daripada mereka menerjah.

Namun, ia tidak sesekali melunturkan rona bahagia mereka. Kata Zureen, mungkin juga benar cakap orang tua supaya tidak bertunang lama-lama kerana hidup pastinya akan terus diuji. Tapi bersyukurlah, sekalipun ribut taufan melanda, selepas ini, ia tidak akan mengganggu gugat cinta mereka. Insya-Allah, apa yang penting, ialah terus menjaga keberkatan rumah tangga yang sudah dibina.

“Apa yang saya amati, Khirul seorang yang sangat jujur dan suka berterus terang. Jika tidak, masakan pertemuan singkat semula itu, terus dimeterai ikatan pertunangan tanda kasih sudah terpaut dan cinta tersimpul rapi. Of course, saya berharap ikatan perkahwinan ini hingga ke hujung nyawa,” kata Zureen yang mengimpikan 3 orang anak.

Pada majlis pernikahan, pihak pengantin lelaki membawa sebanyak 7 dulang hantaran berona jingga yang terdiri daripada sirih junjung, mas kahwin beriringan wang hantaran, set barang kemas yang diserikan dengan bunga rampai, senaskhah Al-Quran, halwa pemanis mulut, seutas jam tangan Chopard, tas tangan jenama Louis Vuitton dan sepasang kasut, Polo.

Pihak pengantin perempuan pula membalas dengan sembilan dulang hantaran berona merah jambu dan ungu berupa sirih junjung, cincin Cartier, buah-buahan, kek, wangian Hugo Boss, sut kemeja Padini, jam tangan Omega dan set pencukur elektrik Braun dan senaskhah Al-Quran.

Menurut Zureen, pada majlis persandingan (30 Mei), mereka memilih warna ungu dengan sentuhan kotemporari moden, manakala majlis bertandang (13 Jun), persalinan rona hijau dipilih. Pasangan ini juga tidak merancang untuk berbulan madu dalam masa terdekat, sebaliknya hanya akan memikirkannya pada 2010.
Info menarik
* Khirul pula mengharapkan untuk dikurniakan minimum dua orang anak. Bagaimanapun mereka tidak menolak rezeki jika dikurniakan anak yang banyak.

* Antara penaja yang terbabit merealisasikan hari bahagia mereka ialah Reen’s Avenue Bridal (pelamin & sepasang baju bertandang di Perlis), Creative Energy ( Kad Kahwin), Nazlee (beg eksklusif) Sani Catering (menu tambahan) serta rakan-rakan yang banyak menghulurkan bantuan antaranya, Kak Yah, Baizura & Ateq.




1 Response
  1. Ckin Says:

    waa... sonot baca.. mcm baca majalah pengantin!


Post a Comment